Antara peristiwa lain lagi yang berlaku ketika itu ialah:
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. baginda
naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia.
1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS
masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat
melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang
berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki
bergantung pada susu penzina perempuan.
2. Langit Kedua: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik
tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa AS dan Nabi
Yahya AS.
3. Langit Ketiga: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS
naik langit ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
4. Langit Keempat: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS
naik langit keempat, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Idris AS.
5. Langit Kelima: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS
naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang
dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
6. Langit Keenam: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS
naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu
dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu
dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk
syurga tanpa hisab.
7. Langit Ketujuh: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS
naik, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah AS
yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur di hadapan beberapa kaumnya. Nabi
Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini.
Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk
umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘la haula wa la quwwata
illa billah’” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan
salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar
airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: ‘suhanallah, walhahamdulillah,
wa la ilah illa allah, wallahu akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil
‘aliyyil azim’. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan
sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang
ajaib. Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke dalam Baitul-Makmur dan
mengerjakan solat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi"
pada dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai
keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak
dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna
dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak
terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai
Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan
melihat neraka berserta dengan Malik pennjaganya.
9. Tangga Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW. masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur
'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya
tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di
Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT
dengan mata kepala baginda, lantas sujud dan bermunajat kepada Allah SWT.
Kemudian, Allah SWT memfardhukan solat 50 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat
Islam.
Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim
AS dan kemudian menemui Nabi Musa AS lalu menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada
Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu.
Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya
Allah SWT perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan
mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Setelah daripada itu, Rasulullah SAW turun ke langit dunia
semula dan seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq untuk
pulang ke Makkah Al- Mukarramah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini
baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi
(bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat
peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum
hijrah). Wallahu'alam.
Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya
sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang
tiba. Apa yang lebih penting adalah kita hendaklah menghayati pengajaran di
sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi
perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai
kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita
agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.